Apresiasi Sanubari…: 2009

Dari Sanubari…Merungkai Segala Persepsi Dalam Kehidupan Insani…


Sunday, December 20, 2009

Kumohon...


Assalamualaikum...sudah lama benar saya tidak memaparkan yang terkini di sini...Mungkin sudah masanya saya memulakannya kembali. Sepanjang tempoh itu juga pelbagai perkara yang berlaku. Ada yang menggembirakan, ada juga yang meruntun hati. Dan seperti biasa saya masih mengunci mulut dari berkata yang benar sehabis-habisnya. Untuk apa? Untuk menjaga hati. Tapi berbaloikah menjaga hati orang yang tidak pernah berpuas hati? Tentu sekali tidak! Namun, setiap tindakan manusia itu kan bersebab...dan saya ada alasan tersendiri atas setiap tindakan saya. Yang pasti biarlah kebenaran itu datang dengan Petunjuk Dari Allah S.W.T...bukankah lebih bernilai? 


Kalaulah ada insan yang berhati mulia boleh menyatakan segala kebenaran, itulah kuasa Allah...Biarlah kebenaran itu ditemui daripada orang lain kerana saya sendiri sudah penat...Buatlah apa-apa pun yang kalian suka ke atas saya, buatlah sampai kalian berpuas hati...buatlah...kerana Allah S.W.T. itu Yang Maha Mengetahui...Saya bukan Malaikat, saya hanyalah manusia biasa yang seringkali terkhilaf...Namun saya tidak pernah sama sekali memesongkan fakta semata-mata mahu menarik perhatian sesiapa, tidak pernah menggunakan orang lain untuk memuaskan hati sendiri...


Saya hanyalah insan yang bodoh yang tidak pernah pandai untuk berlakon di depan orang lain...Sama ada suka atau tidak itulah yang akan terpancar di wajah saya...Tidak seperti sesetengahnya, sering berpura-pura suka walau hakikatnya di hati Tuhan Sahaja Yang Maha Mengetahui...Hidup ini hanyalah sementara...Isikanlah dengan kejujuran bukan kepalsuan...Saya menulis kerana saya tidak mampu menyatakan kebenaran secara lisan pada yang terlibat. Menjaga hati...tapi hati saya sendiri??? Saya sayangkan semua sahabat baik saya...namun, maaf tidak semua boleh saya kongsikan...Saya melaluinya sendirian...Nyatanya, sahabat-sahabat baik saya sering membuat saya ketawa tanpa mereka sedari hati saya sebenarnya bersedih...Itu sudah cukup mengembirakan...Tidak mudah sebenarnya memakai 'kasut' yang saya pakai. Sering dikenakan...Tapi saya tetap bersyukur. Tunjukkkanlah kebenarannya Ya Allah...Amin Ya Rabbal 'Alamin...


Wednesday, October 14, 2009

Senyumlah...


Minggu ni merupakan minggu yang agak sibuk...harus bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain...letih tapi enjoy! Sedikit sebanyak mengurangkan sebarang rasa gelisah yang ingin dipadamkan dari hati...sukar untuk dijelaskan tapi itulah namanya perasaan, terangkum di dalamnya gembira, sedih, resah, gelisah, suka dan duka makhluk yang bernama manusia...Sifat normal seorang insan. Senyumlah wahai insan...kerana itulah tandanya kekuatan...mungkin yang lebih baik sedang menanti dan menyapa kita satu hari nanti...

Thursday, October 8, 2009

Third Party...


Sedar tak sedar Syawal sudah pun berada di pertengahan. Umat Islam saya percaya masih dalam suasana Aidilfitri...Masih dibayangi percutian yang panjang, mungkin...dan saya yakin untuk keluar dari 'mode' percutian bukannya mudah! Perlu bertegas dengan diri sendiri!


Aidilfitri bukanlah hari untuk bersuka ria semata-mata. Cuba tanyakan pada diri sendiri apakah yang kita pelajari dari Aidilfitri pada tahun ini? Cukupkah sekadar bermaaf-maafan sesama sendiri? Bagaimanakah dengan iktibarnya?


Entah mengapa sejak kebelakangan ini banyak terdengar bencana alam dan malapetaka di sana sini. Adakah itu petanda kepada sesuatu? Ngeri rasanya...pun begitu, ada waktunya DIA kita ingati hanya sewaktu kita kesusahan...Mengapa?


Dalam dunia yang penuh noda berkalang dusta, adakalanya kita alpa apabila kita di tahap yang selesa. Pancaroba kehidupan yang pelbagai kadangkala mengelirukan pemikiran insani. Sedang elok-elok menjalani kehidupan boleh wujud sengketa yang tidak pernah kita jangkakan. Baik dari sudut apa sekalipun, sebenarnya langkah kita harus lurus...ikhlas dan tulus. Janganlah menjadi insan ketiga yang menjadikan keadaan tiba-tiba rumit. Apalah gunanya bersikap begitu...hanya akan merugikan diri sendiri...


Yang tak fahamnya, kenapa ada manusia yang tergamak menjadikan orang lain sebagai pemangkin kepada usaha mereka sedangkan mereka sendiri berselindung di sebalik bayang-bayang itu, mempergunakan kelurusan orang lain. Lantas mengada-adakan cerita yang tiada, mewujudkan sesuatu yang tidak pernah wujud, membawa perkhabaran palsu ke sana ke mari...sungguh sedih! Bukanlah lebih baik orang-orang seperti ini menilai aspek diri sendiri? Banyak lagi yang lebih penting boleh dilakukan.


Tidaklah membawa sebarang kesan jika orang lain tidak percaya pada segala niat tersembunyi...tapi tidak mustahil orang yang paling rapat dengan kita pun kadangkala boleh tersasar lantas mempercayai semua kepalsuan itu. Kesudahannya? Anda fikirkanlah sendiri...


Harus diingatkan, mereka yang sering berselindung di sebalik bayang-bayang 'kudus' takkan selamanya boleh berselindung. DIA sentiasa memerhati...Dan hidup itu bagaikan roda...


Friday, September 25, 2009

BBQ...


Letih betul hari ni! Idea untuk mengadakan BBQ sempena raya datangnya daripada adik-adik saya...kebetulan pula tunang adik baru saja tiba dari Kuala Kubu Baru semalam. Ditambah meriah dengan kehadiran saudara-mara dan jiran-jiran...


Persiapan dijalankan seawal pukul 11.00 pagi, berhenti hanya untuk bersolat...Excited! Disebabkan itu, keletihan kami lupakan sebentar. Selain BBQ, menu yang disediakan ialah laksa dan nasi goreng...hampir-hampir licin!


Jauh di sudut hati saya, seronok apabila melihat adik-adik gembira sepanjang malam ni...walaupun dia tidak dapat datang...Dalam masa yang sama hati saya sedih, tapi apalah sangat kesedihan itu kerana yang lebih penting ialah kegembiraan adik-adik. Berkorban apa saja untuk insan-insan yang saya sayangi!


Setinggi manapun marah saya, pasti luntur apabila melihat mereka gembira. Nyatanya, we had a great fun tonight!


Antara 2 'Ideologi'...


Setiap yang bernafas di bumi yang fana ini masing-masing telah tertulis perjalanan hidupnya. Yang nyata kita hanyalah manusia biasa yang melalui hari-hari kita dengan penuh kesabaran sepatutnya, disertai ketabahan seadanya...


Semalam ialah hari yang membuatkan saya berfikir dari pangkal akal kurniaan Ilahi, sedalam-dalamnya, memeluk erat sekeping hati agar tidak terguris lagi...cuba berdiri sekuat-kuatnya agar mata tidak bergenang walau sedikit...berjaya pada permulaan, tiba di satu ketika mengalir jua! Aduh, benci situasi macam ni! Sepantasnya juga tangan mencapai tisu, memadamkan kesan yang tidak sepatutnya dilihat oleh sesiapa jua...Yes, berjaya!


Perumpamaannya ibarat diluah mati mak ditelan mati bapak...serba salah dibuatnya! Hanya yang pernah melaluinya akan tahu bagaimana rasanya apabila tersepit di antara dua ideologi yang berbeza...Dan, saya sendiri memahami kedua-dua ideologi itu...sejujurnya...

Monday, September 21, 2009

He came!


1 Syawal sudah pun berlalu dengan sederhananya...Pertama, baju raya yang tidak sempat disiapkan! Terpaksalah saya menyelongkar almari dan mengamat-amati baju-baju lama yang sesuai dipakai di pagi raya. Aduh, frust sungguh! Tapi nak buat macam mana, salah sendiri juga kerana sudah terhantuk baru nak terngadah...last minute punya pasal la ni! Mujurlah, pandangan mata pantas menangkap ke arah sehelai pario pemberian salah seorang sahabat baik 4 tahun yang lalu. Dipadankan dengan sehelai baju biru yang sememangnya suatu ketika dulu ditempah khas untuk dipakai bersama-sama pario tersebut. Pantas juga hati berdetik, inilah yang akan saya pakai pada pagi 1 Syawal! 


Seperti biasa, makanan telah ditempah awal daripada katerer yang sama setiap tahun. Ala kadar...nasi tomato bersama lauk-pauknya, ketupat dan rendang. Setelah semuanya terhidang di atas meja, saya sekeluarga bermaaf-maafan terlebih dahulu dan barulah kami makan bersama-sama...Namun, jauh di sudut hati saya masih menantikan seseorang...Akhirnya, dia tiba lebih kurang pukul 5 ptg...Alhamdulillah...Biarpun lewat dari jangkaan tapi hati saya sangat bersyukur. Bermaaf-maafan, berbual dan bergambar. Setelah 2 jam 30 minit berlalu, seperti biasa dia harus pulang. Hati sekali lagi dirundung pilu. Masih mampu saya tahankan. Ternyata setiap yang berlaku menjadikan saya insan yang semakin kuat...

Friday, September 18, 2009

Raya Datang Lagi...


Dah berhari-hari saya tak update blog ni. Sibuk dengan pelbagai urusan yang perlu disiapkan dengan segera. Alhamdulillah segala-galanya dapat disiapkan dengan lancar seperti yang saya jadualkan. Tambahan pula raya tinggal tak sampai pun 3 hari lagi...masing-masing diselubungi oleh 'mood' raya yang membuak-buak...excited!


Tiba-tiba terpanggil saya untuk menulis tentang kegembiraan di pagi raya. Hari Raya bagi saya ialah hari untuk kita meraikan kemenangan setelah umat Islam berpuasa selama sebulan. Hari untuk kita bermuhasabah diri. Hari untuk kita bergembira tanpa melupakan yang tidak berdaya. Hari untuk kita berkumpul sesama keluarga, dan sahabat handai.


Tapi bagi saya sendiri, ada kegembiraan tapi masih ada yang terbuku di hati, ada keriangan tapi masih tidak seperti dulu...Hipokritkah saya? Tentu tidak, kerana saya masih meneruskan kehidupan seperti biasa, walaupun masih bertatih untuk terus berjalan dengan kuat...saya harus tampil kuat agar insan-insan yang saya sayangi terus berdiri. Tabahkah saya? Bukan hak saya untuk menilai...


Jauh di sudut hati tidak putus-putus berdoa semoga dia datang meraikan hari raya bersama-sama, biar lengkap untuk seketika, walau sekejap cuma...hati dirundung kebimbangan andai dia tidak dapat hadir...apa kata mereka nanti??? Kadang-kadang hati berharap, janganlah dia melakukan kesilapan lagi...kerana kesilapan lalu masih berbekas di nurani...Kelak semakin susah untuk saya rapatkan hubungan mereka semula...Namun, saya bersyukur dianugerahkan Allah sekeping hati yang cepat sejuk, pemaaf mungkin...Tapi mereka lain pula...Kami tidak serupa...Yang sama mungkin perasaan sayu setiap kali dia mahu beredar.


30 hari berpuasa, hanya sehari peluang berbuka bersama...sudah cukup membuatkan saya bahagia...dan saya yakin mereka juga gembira...Dan kerana itu, saya amat menghargai setiap yang saya miliki...kerana itu juga saya tidak mahu kehilangan lagi. Selagi mampu, saya akan terus berdiri teguh dan saya mahu mereka juga begitu...Dan saya akan terus tersenyum yang pastinya...untuk mereka...:-)



Thursday, September 10, 2009

Good Morning...


Good morning everyone! Entah apa semangat yang datang pagi ni, walaupun diganggu dengan masalah waktu tidur yang terhad, tapi diri terasa sangat bertenaga...alangkah baiknya kalau tiap-tiap hari begini. Am I right?


Mungkin juga suasana pagi ni yang menjadikan diri amat bertenaga! Cuaca yang sangat redup, disertai titisan-titisan hujan renyai dan kesejukan yang terasa hingga ke tulang! Waaahhh, nyaman sungguh!


Tapi ada sesuatu yang masih saya rindui! Apakah sebenarnya, biar hanya saya yang tahu :-) Walau bagaimanapun, keceriaan pagi ni benar-benar mengembirakan. Ada sesuatu yang membuak-buak untuk dikongsikan di sini, namun masa belum mengizinkan...tungguuuuu...


So to all my friends...moga keceriaan saya pada pagi ini akan meresap ke dalam sanubari kalian dan sekaligus menjadikan anda juga individu yang sangat ceria sepanjang hari ni...yang penting kita enjoy!!!


Lurus Bendulkah Kita?


Sudah lewat sebenarnya...namun mata masih belum mahu hanyut dibuai mimpi yang panjang. Sedangkan menjelang pagi nanti, pelbagai agenda telah pun tersusun rapi menanti diselesaikan satu persatu.


Tambahan pula teringatkan sesuatu...mungkin seseorang...atau boleh jadi juga sekadar lamunan. Ah, saya sendiri kurang pasti dan tidak mahu cuba untuk mencari kepastian itu!


Lantas ingatan menjangkau lebih jauh. Ke alam persekolahan sewaktu zaman kecil, tatkala cikgu bercerita tentang Si Luncai dan Labunya...tentu ramai yang ingat akan cerita dongeng tersebut kan? Susulan daripada cerita itu...timbul pula pepatah lama, Biarkan Si Luncai Terjun Bersama Labunya...kasihan Si Luncai...Tak habis-habis diperkatakan tentang sikap lurus bendulnya. Seolah-olah sudah menjadi ikon kepandiran selain Pak Pandir sendiri...


Bercakap tentang lurus bendulnya seseorang itu, sepatutnya menjadi nilai murni yang positif. (bak kata seorang murid yang bertanya dengan tulus ingin mengetahui jawapan, "cikgu, nilai murni tu apa?") Tapi apabila wujudnya pihak ketiga yang sentiasa mencuba untuk menggunakan kelurusan seseorang itu untuk mencapai tujuan tertentu, nampaknya sikap lurus bendul ini sudah hilang positifnya...


Beralih pula kepada topik pihak ketiga...terlalu luas skopnya...ada yang positif, ada juga yang sebaliknya, jadi saya tidak akan menulis tentang topik ini sekarang...tunggu apabila tiba masa dan ketika yang sesuai, tatkala idea yang lain meronta untuk dicurahkan, akan saya kupaskan...


Lurus bendulkah saya? Lurus bendulkah anda? Lurus bendulkah kita? Saya sendiri sentiasa cuba bersikap sejujur yang mungkin. Kalau benar, tidak perlu takut...kalau salah, mengaku dan perbaiki...untuk apa bersikap egois dan berpura-pura..kalau hanya akan membunuh hati kita sendiri...kerana yang berpura-pura tidak akan tenang hatinya...sedarlah...


Wednesday, September 9, 2009

Rona Kehidupan


Kata orang hidup ibarat roda...
Di atas dan di bawah
Berputar mengikut peredaran masa
Tanpa henti
Langkah bersaksi...
Mengikut kata nurani
Tanpa ragu...
Kita melangkah penuh berani
Di celah-celah fatamorgana kita gagahi
Berpayungkan awan biru
Berlantaikan tempat kita berdiri
Menjalani hidup dengan ketulusan hati


Belajar dari kesilapan lalu...
Yang didengar belum tentu benar..
Maka di situlah gunanya akal kurniaan Ilahi
Yang tersenyum belum tentu gembira
Maka di situlah hati teruji
Yang indah di mata belum tentu indah di hati
Maka di situlah kelebihan kita untuk menafsir


Kata orang selagi kita diuji...
Selagi itu kita disayangi
Bersyukurlah dengan hikmah-NYA
Rona kehidupan yang pelbagai
Kadangkala menjadikan kita alpa seketika
Berhati-hatilah...
Siapa sangka langkah kita diperhati?
Oleh mereka yang berada di sekeliling kita..!


Duhai Angin


Duhai angin...
Sampaikan pesanku padanya
Katakan bahawa aku masih di sini...
Masih teguh berdiri dan terus meniti hari-hariku
Ranjau nan berliku
Pergilah jauh dari hidupku
Usah lagi aku diganggu
Kerana aku tidak pernah mendambakanmu
Janganlah dikhianati aku
Usahlah dicemari ketulusan hatiku
Duhai angin...
Hembuskanlah bayu nan lembut
Bisikkanlah semilir nan suci
Agar aku berpeluang merasai kedinginanmu
Terperangkap aku di antara lipatan malam
Kembalikanlah nostalgiaku
Kerana itulah yang terindah dalam hidupku...
Nyatanya aku telah merantau jauh di celah-celah pengharapan
Yang menjadikan aku seperti aku...



Siapalah Aku...


Aku bukanlah sang pujangga
Bijak menyusun kata mengatur bicara
Namun hatiku tulus berbahasa
Lantas usahlah disalah mengerti...
Aku juga bukanlah sutradara agung
Tiada yang Agung melainkan DIA...
Siapalah aku untuk mengarahkan slot akasia
Siapalah aku untuk mengarahkan permainan duniawi
Aku hanyalah insan biasa
Pernah disapa kasih dan cinta
Yang datang dan pergi berulangkali
Seringkali memandang pada cermin hati
Terbias sinar yang menyuluh kembali ke dasar hatiku...
Akhirnya aku pasrah...
Usahlah menghargai
Kerana telah lama aku merasa tidak lagi dihargai
Tak ku perlukan simpati...
Kerana simpati bakal membunuh jiwa
Hanya hilangkan segala keasingan kita
Pengorbanan yang bukan kerana menyerah
Pengorbanan itu kerana tidak mahu disakiti lagi



Batasan Waktu


Kurentasi batas waktu
Di danau penuh berliku...
Di bawah teriknya sinar mentari...
Yang menyuluh ke tasik hati
Menerangi nurani
Pilunya amat kurasai...


Kuharungi saat itu...
Walaupun sedetik cuma
Cukup untuk menyentuh ke dasar jiwaku
Kulontarkan pandangan itu
Pada sang awan yang memayungi daku
Aku lelah...
Terhenti langkahku...


Belajar dari sejarah hidupku
Aku hanya pelarian sepi...
Pada persimpangan penuh berliku
Yang terbatas oleh waktu yang berdetik
Mungkin aku tidak mampu menghuraikan mimpiku
Namun aku tetap aku...
Dan aku adalah aku


Apa Ada Pada Persahabatan?


Apa ada pada persahabatan?
Ada yang menganggap persahabatan itu hanya sementara
Tiba-tiba ianya berlalu pergi...
Makanya, tiada makna...
Apa ada pada persahabatan?
Pendapat mengatakan persahabatan itu menggembirakan...
Namun...bersama di kala suka...tinggalkan kita di saat sukar
Maka menangislah kita sendirian...
Persahabatan itu mohon dijauhkan...


Apa ada pada persahabatan?
Ada yang merasakan hanya akal mampu menafsirkannya
Setitik dicurahkan, selautan ianya mengalir...
Ada di waktu ketawa, sentiasa bersedia di kala duka...
Susah senang tiada pernah melarikan dirinya
Itulah persahabatan yang sejati...


Nilaikanlah...
Tafsirkanlah...
Adakah serupa rakan, kawan dan sahabat?
Terkadang kita sendiri terlupa...

Perjalanan


Tiap yang bernafas itu adalah kehidupan...
Tiap yang bernadi itu adalah perjalanan
Terkadang di atas dan tersenyum
Sesaat yang lain jatuh, rebah dan tersungkur...


Terus terkedu dan terdiam...
Apakah perlu untuk kita berhenti di situ?
Atau bangun dan teruskan perjalanan itu?
Fikir dan terus berfikir...Terkadang keliru...


Namun, aku tetap aku
Bukan mudah menutup ruang kosong yang ada
Ruang yang memberi peluang untuk mereka berkata
Dan terus berkata...


Tapi, aku adalah aku
Yang kenal diriku hanyalah DIA dan aku...
Biar aku mengadu hanya pada-NYA
Jatuhku pasti kan bangun kembali
Tunggu...kerana aku pasti kan berlari semula


My first blog...


In the first place, blog ni terhasil disebabkan tahap kebosanan yang terlampau...sambil di dalam kepala memikirkan perkara yg sesuai dilakukan sebelum tibanya waktu kelas. Semua kerja dah dibereskan seawal pagi, hmmm apa nak buat ni??? Tiba-tiba idea menjelma...blog! Dah lama tertangguh...kenapa tidak diteruskan, dan disiapkan??? 


Maka, inilah hasilnya...http://hidayahazhar.blogspot.com...segala kekurangan mohon dimaafkan kerana saya budak baru belajar...dan akan diperbaiki dari semasa ke semasa... promise! To all my friends, komen daripada kalian amatlah dialu-alukan...Please drop me few lines ok!


Ok, disebabkan saya suka menulis, menulis dan terus menulis...sudah tentu blog ini akan menjadi medan dan ruang untuk menumpahkan segala idea yang hadir. Sebelum ni saya hanya mencurahkan segala-galanya di atas helaian-helaian kertas yg berkajang-kajang tapi akhirnya hilang...but now...tidak lagi! Yey!


Apa lagi ya? Cukup-cukup la dulu hidayah oiii...banyak lagi hari kita boleh post idea...haaaiiih! Hingga ketemu lagi :-)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...