Apresiasi Sanubari…: 2010

Dari Sanubari…Merungkai Segala Persepsi Dalam Kehidupan Insani…


Thursday, October 28, 2010

Syukur...






Hari yang cukup dingin! Banyak yang perlu dilakukan hari ni hasil kesinambungan aktiviti semalam. Tapi yang nyata, saya suka dengan setiap perkara yang saya lakukan untuk beberapa hari kebelakangan ini kerana saya melakukan hanya yang saya suka! :) Setelah mengambil masa hampir suku hari, akhirnya langkah pertama telahpun selesai...Alhamdulillah...Biar orang memandang saya hanya dengan sebelah mata, semata-mata saya seorang perempuan...tidak pula saya ambil peduli...:) teruslah memandang saya begitu kerana itu sebenarnya semakin menjana semangat saya...Syukur Alhamdulillah kepada-NYA kerana terus menguatkan hati saya.


Telah lama saya cuba menjadi yang terbaik untuk insan-insan di sekeliling saya. Sama ada mereka tahu atau tidak, itu soal kedua. Bukanlah satu isu yang penting buat saya kerana saya melakukannya seikhlas hati. Dan...kini sudah tiba masanya saya cuba menjadi yang terbaik untuk diri saya sendiri pula. Melakukan sesuatu yang lebih bermakna untuk keluarga saya bernaung, dengan izin dari-NYA. Ini yang saya pilih, ini yang saya mahukan jadi saya akan terus berusaha, berdoa dan bertawakal kepada-NYA.


p/s: Tiba-tiba saya terfikir, alangkah baiknya kalau saya ada 'pendamping' nyata yang semangatnya seiring dengan saya. Saya tidak sepandai mana, tapi tidak salah kita mencuba. Lakukan sesuatu apabila sudah ditunjuk jalannya. Kita akan lebih menyesal apabila kita gementar untuk mencuba. Yang nyata, masa semakin berlalu...sampai bilakah kita hendak menunggu..? Hasil pengalaman, kesimpulannya tetap menjurus kepada satu pangkal, cinta dan cita-cita harus seiring...itu pendapat saya..



Friday, October 22, 2010

Matahari

Hari ni setiap detik terasa terlalu lambat berlalu...dari semalam lagi hati sangat berat, susah betul nak melelapkan mata dan kalaulah diberi pilihan mahu saja terus melangkau hari...tapi aku yakin bahawa Allah takkan menguji di luar kemampuan hamba-NYA...dan rasanya, setiap manusia tahu dan kenal akan kemampuan diri masing-masing. Cuma janganlah pula kita terlalu mendabik dada dengan merasakan yang kita sudah cukup kental kerana sekuat manapun seseorang itu, kita tetap ada kelemahan yang tidak kita nampak...Harus ingat itu!


Pagi-pagi lagi aku sudah bangun dan bersiap, tanpa sebarang rasa...kosong! Cuma berkali-kali mengingatkan diri, bersyukurlah kerana masih diuji oleh-NYA...lalu hati menjadi tenang...:) Tertunggu-tunggu siapa yang sudi menemani pada hari ni...Siapa yang akan ada denganku sebagaimana aku sentiasa ada pada bila-bila masa? Namun, cepat kutersedar...untuk apa mengharap? Siapa pula yang tahu? Selama ini pun sendirian jua...Lantas, kubuang semua harapan itu...


Menyelesaikan kerja seawal mungkin, terus saja pulang ke rumah...bercakap telefon dengan kakak yang aku sayang sehinggalah tiba di rumah...terus saja menghadap komputer riba, seperti kebiasaannya...Terpaku dan tergamam melihat sesuatu yang dihantar oleh adik angkat kesayanganku...instinct kami sangat kuat, dan ternyata masih seperti dulu...tanpa perlu beritahu, dia sentiasa tahu setiap kelainan yang ada padaku walaupun pada jarak yang sangat jauh! Walaupun muda, daripadanya, kubelajar sesuatu hari ni, seorang sahabat tidak perlu berada dekat atau tahu terlalu dalam...jika benar-benar ikhlas dan jujur, kita akan kenal hati budi seseorang yang lain dan memahami setiap yang berada dalam dirinya...maka setiap kelainannya akan dapat kita rasai...adik, tq so much!


Ada lagi yang sentiasa tahu setiap perubahanku, walaupun tanpa perlu diberitahu...sahabat baikku...sebut saja bila, dia sentiasa buat aku ketawa...ada aktiviti yang kami lakukan bersama-sama petang tadi...sesuatu yang sangat-sangat jarang kulakukan! JOGING!! Sambil-sambil berjoging, banyak juga 'hasil tinjauan' kami...:)) Shahnaz, nanti kita jog lagi tapi aku jalan ja k???


Hari ni sudah semakin sampai ke penghujungnya, Alhamdulillah...berjaya jua! Walau dalam hatiku hanya DIA yang tahu apa yang kurasakan...dan hati rindukan seseorang yang sentiasa bersama-sama menemani setiap suka duka suatu waktu dulu...Moga kan kembali menemani...Terima kasih semua...Moga 'matahari' bersinar semula...






Itulah Kehidupan...


Kata orang hidup bagaikan putaran roda. Tidak selamanya indah...tidak sentiasa cerah...tidak juga selalu tenang. Ada jatuh bangunnya, dan onak duri yang perlu kita hadapi...Laluan kita tidak semuanya lurus. Sesekali tersadung jua! Jatuh! Sama ada terus duduk menangis, meraung dan menanti adanya seseorang untuk mengangkat kita semula atau menangis, menyapu luka dan berfikir bagaimana untuk berjalan semula, itu pilihan yang terletak di tangan kita...Percaya atau tidak, setiap onak duri itu ada hikmah-NYA...dan kita harus yakin akan setiap ketentuan-NYA...


Setiap daripada kita tak mungkin sama perjalanannya...hanya mungkin seakan sama...yang pasti cara menanganinya berbeza...Apa yang mampu kita lakukan adalah memaksimumkan penggunaan akal kurniaan Ilahi kepada hamba-NYA dan meminimumkan peranan emosi...di sinilah pentingnya insan-insan terdekat dengan hati kita...seseorang yang sentiasa 'dekat' pernah berkata, "bercakap memang mudah tapi berapa ramai yang boleh menghulurkan tangan untuk menarik dan terus menarik tanpa jemu..?" 


Kata-kata itu membuatkan aku terfikir sesuatu yang biar terus disimpan...dan begitu juga hati sentiasa mengharapkan mereka mampu bersamaku sebagaimana aku sentiasa bersama mereka di kala susah dan senang mereka...insan yang benar ikhlas dan jujur bersahabat akan tahu kelainan kita biarpun sekadar mendengar suara...akan dapat mengesan bila waktunya kita benar-benar gembira, bila masanya kita dirundung duka atau buat-buat gembira...istilahnya sering digunapakai, kawan...rakan...sahabat dan teman...namun berbeza pengertiannya. Pernahkah kita terfikir di kedudukan manakah kita..?


Tuesday, August 17, 2010

Selayaknya Manusia...


Ogos datang lagi...dan Ogos ku ini sangat padat...padat dengan kisah-kisah kehidupan yang membuatkan aku banyak berfikir...dan berfikir...malah terus berfikir...Huh!!! Pada satu sudut betapa aku terhibur oleh mereka yang istimewa. Ya, mereka sangat istimewa! Mampu menghiburkan kita seadanya mereka. Aku insaf melihat mereka...di satu sudut yang lain pula, hatiku kesedihan...


Kupaksa hatiku mengalihkan kesedihan itu...aku tahu kemampuanku...aku tahu aku mampu mengalihkannya...namun, mengalihkan segenap rasa tidak mampu menyembuhkan luka, aku tahu aku perlu menyelesaikannya...segalanya bersebab! Tidak ada perkara di dunia ini yang dilakukan tanpa sebab...


Hati menjadi sarat! Kalau sudah api, tetap akan menjadi api. Sangat kecewa dan buntu! Maka tersepitlah aku...Menjadi seorang aku tidaklah mudah...Namun, aku tidak pernah mengalah. Ya, ada waktunya aku jatuh lalu terduduklah aku...itu lumrah perjalanan hidup seorang manusia...hatiku diajar untuk tidak cepat berputus asa...biarpun dugaan yang datang bertali arus...syukur kerana aku masih di sini...


Hidup tidak selamanya indah...dan mendung tidak selamanya menutupi mega...segalanya bersilih ganti...lalu bulan itupun semakin hampir...dan hampir...serta terus menghampiri...aku terus dikejar bayang-bayang yang tak pernah berenggang denganku...


Hati, teruslah kental...
Semangat, teruslah kuat...
Kasih dan sayang, teruslah bersemi...
Agar aku bisa menghadapinya sekali lagi...sendirian...


Aku Manusia Biasa...


Tiap saat dan detik...
Kurentasi batas waktu...
Pelbagai perkara baru aku lalui...
Dugaan dan cubaan bersilih ganti
Tetap kuharungi...


Dalam kamus hidupku...
Berputus asa bukan permainanku...
Kelebihanku pada hati...
Pada akal, hatiku berbisik...
Menerima dan cuba melaluinya
Sehabis dayaku...


Namun aku manusia biasa
Ada ketikanya aku kecewa...
Pabila hati terhiris luka...
Dan hati yang kental itu pun mula kebasahan...
Tetapi tangisanku berlagu hanya di dalaman...
Dan aku tahu kemampuanku...
Aku masih berdiri kerana ku tahu...


Selamat Hari Bapa...16.1.16.1...




Cinta...Kasih dan Sayang...
Seketika membahagiakan
Adakalanya menghentikan waktu...
Dan aku...
Memintal segenap rasa...
Menyelam ke dasar jiwa...
Meneroka ke seluruh kota cinta
Walau terkadang tenggelam...hatiku mati...
Dambaanku pada segala yang telah terkunci
Aku yang tidak pernah berputus asa...
Cuba menggembirakan setiap yang aku miliki
Mencuba yang terbaik dari peninggalan sisa-sisa...
Dan sisa itu untuk kusimpan
Cuba kusiram...cuba kubaja...
Cuba kutumbuhkan kembali...
Agar tidak berlalu...
Dan terus berlalu...
Dari sisi...
Sejauh manapun kau cuba berlari...
Kami tetap hartamu...
Sayang...Kasih...dan Cinta ini...
Tidak pernah jauh daripadamu...
Selamat Hari Bapa...16.1.16.1...


Sunday, March 28, 2010

1001 Perasaan...


Aku menulis ketika aku gembira
Di sampingku hanyalah cerita-cerita bahagia
Penuh senda dan tawa
Aku memulakan langkahku
Semakin hari semakin berliku


Aku menulis sewaktu aku kecewa
Ketika hati tidak terbendung perasaan hampa
Yang kutahankan tangis dan pilu
Tidak mahu dibiarkan jatuh
Elemen yang akan melemahkan
Seluruh semangatku


Aku menulis di kala sunyi
Tatkala ditemani cahaya sang kelip
Menyuluh tepat ke dasar hatiku
Kucurahkan kembali
Pada setiap lembaran kenangan ini


Aku menulis di saat aku gembira, kecewa dan sunyi
Beringatlah aku ketika gembira
Terlalu gembira pasti kecewa menyusul tiba
Kecewa jangan pula terlalu lama
Hanya akan mengundang rasa kesunyian
Sunyi itu adakalanya indah
Hanya pada yang benar-benar menghargainya...


-25 Mac 2010-


Thursday, February 18, 2010

Kesabaran Yang Hampir Tercabar...


Kebelakangan ini setiap pelusuk hatiku benar-benar sarat. Terasa bagaikan sudah tidak mampu aku pujuk agar terus mendiamkan diri. Mungkin kerana aku sudah penat...benar-benar penat! Aku juga manusia biasa, kesabaranku ada hadnya. Jangan keterlaluan apabila aku sudah cukup memberikan ruang untuk mereka berkata-kata...Aku dapat merasakan diamku semakin menjadikan seseorang itu melampaui batas kesabaranku...Tapi mereka mungkin terlupa akan satu perkara...Keadilan Tuhan Yang Maha Kuasa! 


Sampai bilakah segala tindakan mampu ditutupi oleh mereka? Seseorang itu mungkin mampu menguasai atau menghancurkan kegembiraan orang lain, tapi adakah mereka mampu melawan keadilan Tuhan? Itu peringatan yang tidak seharusnya kita lupakan. Teruslah memfitnah namun ingatlah dosa memfitnah itu lebih besar daripada membunuh. Sampai di satu masa hatiku digerakkan Tuhan untuk keluar daripada diamku, pasti akan aku lakukan...dan di waktu itu, aku tidak mahu lagi ada yang berasa kesal kerana waktu yang kuberikan untuk menilai diriku sudah terlalu lama...hidup ini hanyalah sementara, kehidupan itu hanyalah satu pinjaman...maka, untuk apa kita terus berdusta? 


Jujurlah pada kehidupan anda! Kerana sehandal mana sekalipun kita memainkan peranan kita, kita takkan mampu berdusta pada diri sendiri...di kemudian hari, segala dusta yang kita lakukan ke atas orang lain, pasti akan menghantui diri sendiri...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...